create your own banner at mybannermaker.com!

Tuesday, 27 September 2011

Huraikan kekangan yang perlu dihadapi oleh guru bagi merealisasikan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu melalui TMK dan cara-cara mengatasinya.


Penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran bermaksud menggunakan ICT secara terancang dan bersesuaian untuk meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan P&P. Intergerasi ICT dalam P&P ini melibatkan guru dan pelajar. Ini bermakna ICT digunakan sebagai wahana P&P  bukan belajar tentang ICT.
Peranan pendidik pada abad ini amat mencabar kerana bidang ini mempunyai tanggungjawab besar bagi melaksanakan dasar peningkatan penggunaan IT dalam pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian  dengan perubahan era ICT.
 Penggunaan komputer semakin penting dalam menjana dan memperkembangkan idea dan kreativiti pendidik dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kemahiran guru dalam mengadaptasikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai alat bantu mengajar dianggap penting  dalam memperluaskan tahap penguasaan dan penggunaan dalam pendidikan.
Perkembangan pendidikan baharu dalam pengetahuan ICT memerlukan anjakan peranan  pendidikan dan profesion keguruan. Negara membangun memerlukan lebih ramai guru yang mempunyai pengkhususan bidang pengetahuan komunikasi maklumat (ICT). Latihan pendidikan guru juga memerlukan perubahan paradigma bagi melahirkan guru-guru yang berkelayakan dan berkebolehan mendidik dan membangunkan masyarakat dan negara


. Abdul Rahim (2005) menyatakan bahawa globalisasi  yang meluaskan konsep dunia tanpa sempadan memberikan cabaran pendidikan terhadap guru bagaimana pengajaran dan pembelajaran serta dunia pendidikan boleh dimajukan dari perspektif global yang melibatkan penyesuaian kurikulum, penjadualan belajar, penerokaan maklumat  melalui ICT pengawalan dan peranan efektif guru dalam memajukan dunia pendidikan.
Penggunaan ICT secara berfikrah, terancang dan bersesuaian dengan keperluan dalam pembelajaran membolehkan:
v  Murid meningkatkan kefahaman dan penguasaan murud dalam pembelajaran
v  Murid mengakses maklumat yang sukar diperolehi.
v  Murid mengumpul sesuatu maklumat yang diperlukan dalam masa yang lama atau terlalu mahal untuk dikumpulkan.
v  Murid mencuba atau melaksanakan uji kaji yang sukar, memerlukan perbelanjaan  yang banyak, mustahil atau berbahaya jika dilakukan dengan cara biasa.
v  Murid meningkatkan  daya kreativiti dan imaginasi mereka.
v  Murid  diberi peluang belajar secara berkesan dengan bimbingan guru secara minimum.
v  Murid meningkatkan kemahiran ICT mereka.
Untuk memperoleh manfaat penggunaan ICT dalam P&P perkara-perkara berikut perlulah diberi perhatian:
v  Penggunaan ICT dalam P&P  perlu dirancang dengan baik atau sebagai aktiviti sampingan yang tidak ada kaitan dengan kurikulum.
v  Guru mesti menggunakan ICT yang bersesuaian dengan kehendak kurikulum atau untuk menyokong sesuatu pendekatan P&P.
v  Ada perkakasan dan perisian yang boleh digunakan serta aktiviti pembelajaran yang sesuai.


Mod atau pendekatan yang diperkenalkan untuk integrasi ICT dalam P&P merupakan satu pendekatan untuk memudahkan guru-guru mengaplikasikan satu proses P&P yang melibatkan teknologi dengan lebih terancang. Konsep penggunaan ICT dalam P&P boleh dikategorikan sebagai:
v  Tutorial
v  Aplikasi
v  Penerokaan
v  Komunikasi
Menurut Mohamed Rashid dan Mohd. Nasir (2003) dalam “Kajian Terhadap Pelaksanaan Sistem Pengajaran Dan Pembelajaran” menyatakan bahawa pada abad ke-21 negara menghadapi cabaran dalam dan luaran akibat daripada kesan globalisasi, liberalisasi, dan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi. Pembaharuan pendidikan dari segi pengajaran dan pembelajaran, sistem pengurusan pembelajaran dan peranan guru sudah tentu akan memberikan cabaran baharu kepada sistem pendidikan.
            Perubahan kaedah pengajaran dengan ICT ini bersesuaian dengan cadangan pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia iaitu guru perlu mempelbagaikan kaedah pengajaran yang boleh menarik minat pelajar menggunakan bahan-bahan yang sesuai dari internet untuk tujuan pengayaan, mempelbagaikan teknik penyampaian dalam bilik darjah untuk membolehkan pelajar memahami konsep serta menguasai kemahiran asas dengan lebih berkesan.
            Namun begitu terdapat beberapa kekangan yang dihadapi oleh para guru dan pelajar dalam penggunaan ICT sewaktu menjalankan P&P antaranya ialah:
a)    Kekangan dalam menghabiskan silibus.
Guru kurang menggunakan komputer dalam P&P kerana guru terpaksa menghabiskan silibus dalam jangka masa yang telah ditetapkan. Penggunaan internet memerlukan masa yang lama untuk dilayari dan diakses walaupun dari segi sikap mereka bersedia menggunakan komputer dalam pengajaran.Selain itu, penyediaan alatan seperti LCD untuk berfungsi dengan sempurna mengambil masa lama, terutama bagi sekolah yang tidak ada perkhidmatan juruteknik computer.
b)   Sikap Negatif Guru.

Kebanyakan guru telah sebati dengan kaedah tradisional dan sukar membuat penyesuaian dengan teknologi instruksional (Becker & Watt, 1966). Ledakan ICT memberi cabaran baharu kepada profesion guru dan sistem pendidikan.Malahan ada kalangan guru yang ‘buta ICT’, menyebabkan timbul sikap negatif dan tidak berminat mengajar menggunakan ICT selain sikap malas menyediakan bahan atau peralatan ICT untuk pengajaran.

c)    Kekurangan Kemahiran
Penggunaan IT  yang mempunyai hubungan yang signifikan dengan bidang pelbagai kecerdasan atau multiple-intelligences yang mencorakkan budaya pembelajaran yang tidak lagi terikat kepada pembelajaran konvensional. Namun begitu ,ramai guru yang tidak mahir dalam penggunaan komputer dan internet.Guru yang kurang mahir ini menyebabkan timbul sikap malas dan kurang minat menggunakan IT.

d)   Kekurangan Prasarana dan Bahan Sokongan.
Meluaskan literasi komputer menjadi agenda penting pendidikan selaras dengan dasar ICT negara pada abad ke-21. Namun begitu kemudahan ICT yang terdapat di sekolah masa ini adalah tidak seragam. Ada yang meletakkan  komputer di dalam bilik darjah, ada juga yang meletakkan semua komputer di dalam makmal komputer. Ada yang memiliki sambungan kepada internet, ada yang tidak. Kekurangan yang prasarana inilah yang menimbulkan masalah kepda penggunaan ICT.Malahan melemahkan semangat guru – guru dan murid – murid.

e)    Jurang ICT dan Digital
Ketidakseimbangan yang berlaku dalam masyarakat, ekonomi, pendapatan,  pendidikan, kemudahan infrastruktur, pemodenan dan sebagainya akan memberi kesan terhadap kemajuan ICT dan digital. Sekolah, pendidikan dan profesion keguruan di negara ini perlu memainkan peranan konstruktif bagi menangani jurang  ICT dan digital yang berlaku , terutama di luar bandar dan dalam kalangan kaum. Situasi ini menyebabkan pengajaran guru kurang berkesan dan tidak dapat diaplikasi di luar bilik darjah memandangkan  sosioekonomi  murid – murid di luar bandar yang rendah. Penggunaan komputer yang terhad dan tidak berterusan boleh membantutkan penerimaan ilmu pengetahuan yang hendak disampaikan.

Sumber Kewangan Yang Tidak Mencukupi
Pihak sekolah tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi bagi membiayai berbagai-bagai kos penggunaan teknologi maklumat dan penyelenggaraan IT. Kelemahan kepimpinan sekolah kurang komited terhadap penggunaan ICT juga boleh menyebabkan sekolah tertinggal dari arus perubahan yang berlaku.
 Cara-Cara Mengatasi Masalah.
a)            Kekangan Menghabiskan Silibus
Pendekatan pengajaran menggunakan ICT perlu meluaskan dimensi dunia ICT yang mencakupi penggunaan internet, melayari laman web, on-line, email, program pendidikan yang selaras di peringkat sekolah dan perisian yang perlu dirancang sesuai dengan spesifikasi kurikulum . Penggunaan multimedia, khususnya power point dan layar tayang boleh memberi kesan positif kepada perkembangan minat pelajar.

Program pembelajaran disusun dengan sistematik dan dipantau oleh  guru-guru yang  berpengalaman dalam bidang IT. Penggunaan ICT dalam pengajaran perlu dirancang dengan baik bukan secara sambil lewa atau sebagai aktiviti sampingan yang tidak ada kaitan dengan kurikulum Penggunaan ICT bersesuaian dengan keperluan kurikulum dan menyokong pendekatan pengajaran dan pembelajaran. Bagi melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran , sukatan yang digubal hendaklah  bersesuaian dan mudah dikendalikan.

b)           Sikap Negatif Guru kepada sikap positif
Pengajaran dan pembelajaran cara lama yang diamalkan oleh guru harus diinovasikan dan ada kesinambungan dengan P&P berasaskan IT . Guru seharusnya memikirkan pembelajaran yang dinamik dalam konteks penggunaan ICT di semua peringkat pendidikan bagi membolehkan ICT diadaptasikan dalam budaya pembelajaran.

Persediaan mental, pengetahuan dan kemahiran dalam kalangan anggota adalah penting ke arah sesuatu perubahan dalam sesebuah organisasi (Steers & Black, 1994).

            Perubahan  sikap dan nilai terhadap IT diperlukan oleh guru dalam menghadapi cabaran IT dalam  dunia pendidikan. Justeru itu para guru perlu literasi komputer supaya penggunaan komputer dalam pendidikan tidak terjejas.Guru-guru perlu diberi latihan dalam penggunaan teknologi baru untuk diaplikasikan di dalam kelas.Melalui kursus dan bengkel membantu guru menggunakan perisian dalam P&P. Jika guru mahir menggunakan perisian dan perkakasan computer secara langsung menyemai minat guru.

            Guru   perlu menjadi penggerak dan pencetus kepada perubahan masyarakat ICT dan pembentukan masyarakat digital.Guru juga perlu bersedia meningkatkan pengetahuan dan  kemahiran mereka bagi menjadikan komputer sebagai teknologi pengajaran dan pembelajaran menggantikan pendekatan konvensional.

c)    Kekurangan Kemahiran kepada Mahir dalam Pengendalian IT

Guru harus didedahkan kepada idea baharu dan peluang dalam kerjaya profesion keguruan mereka seperti menghadiri kursus ICT. Pihak sekolah juga perlu mengambil inisiatif memajukan profesion keguruan dalam konteks penggunaan ICT dalam pendidikan agar guru-guru yang berkhidmat di sekolah menerima perubahan dan kemajuan. Program LADAP di sekolah perlu dilaksanakan dengan baik dan terancang. Ini boleh membawa kepada inovasi   dan pelaksanaan dasar pembaharuan pendidikan dilakukan.

Selain itu, pihak pengurusan perlu menyediakan guru mahir IT sebelum guru tersebut mengajar murid-murid menggunakan IT.Ini kerana guru yang mahir akan menambah keyakinan murid terhadap pelajaran.Malahan tidak akan menjejaskan tumpuan murid dan guru ketika proses P&P berjalan.

d)           Kekurangan Prasarana dan Bahan Sokongan

Pihak sekolah perlu memperbaiki infstruktur komunikasi dan multimedia seperti kemudahan komputer, lebar jalur tinggi yang bersepadu dan sambungan Internet serta makmal komputer. Selain itu, pihak sekolah juga perlu meningkatkan infrastruktur seperti rangkaian , kandungan tempatan, insentif dan perundangan untuk membentuk persekitaran yang membolehkan penyediaan infrastruktur.

Pihak pentadbir juga, seharusnya menyediakan bahan – bahan sokongan lain seperti buku panduan atau manual penggunana, juruteknik komputer dan guru pakar.

Kemudahan bilik darjah atau makmal yang selesa dilengkapi perabot yang mencukupi  memberi galakan dan motivasi kepada guru atau murid.Suasana bilik yang ceria  yang mempunyai sudut – sudut pembelajaran berkaitan IT dapat memberi kemudahan kepada murid mencari maklumat berkaitan IT.

e)            Jurang ICT dan Digital
Penggunaan komputer perlu dipergiatkan dan diperluaskan, terutama di sekolah-sekolah di luar bandar. Penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran akan diperluaskan untuk memastikan lebih ramai pelajar mendapat faedah. Oleh itu, usaha akan dipergiat untuk menyediakan kemudahan komputer serta kaedah pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer, terutama di sekolah-sekolah di luar bandar.

Masyarakat luar bandar juga dibantu dengan kemudahan komputer dan rangkaian internet . terdapat syarikat komunikasi memberi kemudahan rangakaian internet dan computer percuma, tetapi ia perlu diperluaskan ke kawasan pedalaman  supaya semua murid dapat kemudahan menggunakan IT bukan sahaja di sekolah malahan di rumah.

f)             Sumber Kewangan yang Tidak Mencukupi

Pihak sekolah juga perlu menangani masalah kewangan yang mungkin dihadapi dari semasa ke semasa. Oleh sebab itu, soal implikasi kos sering kali menjadi kriteria bagi melaksanakan pembelajaran berasaskan komputer di sekolah-sekolah. Perancangan sekolah juga perlu mengambil kira perubahan yang berlaku terutama penggunaan ICT. Selain menyediakan kemudahan belajar berasaskan ICT, sekolah perlu merangka belanjawan pendidikan yang semakin meningkat, khususnya perbelanjaan yang melibatkan penggunaan kemudahan, peralatan dan perkakasan teknologi maklumat.

Peruntukkan untuk penyelenggaraan wajar ditambah memandangkan kos yang semakin meningkat.Penyelenggaraan Anti – Virus sepatutnya sentiasa dipantau  dan dikemaskini supaya jangka hayat perkakasan computer lebih lama.
Kesimpulan.
        Penggunaan ICT dalam bidang pendidikan adalah selaras dengan hasrat Malaysia untuk meningkatkan kualiti pendidikan bertaraf dunia..Peranan institusi pendidikan bagi meningkatkan kadar celik komputer yang melibatkan pengetahuan dan kemahiran komputer ke arah melahirkan masyarakat siber bergantung pada profesion keguruan. Kaedah pengajaran tradisional perlu diubah untuk disesuaikan dengan kaedah mengajar menggunakan peralatan ICT seperti projektor LCD, komputer dan persembahan power point.
            Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) merujuk kepada kebolehan guru mengintegrasikan aspek pedagogi, psikologi dan teknologi dalam pengajarannya serta kemampuan pelajar mengakses dan belajar dari bahan yang disediakan. Walau bagaimanapun jika infrastruktur ICT tidak lengkap dan tidak efisien, guru dan pelajar tidak melaksanakan P&P dengan berkesan Oleh itu , prasarana dan kemudahan di sekolah hendaklah dipantau bagi membolehkan penggunaan komputer secara meluas dalam kalangan guru-guru.
            Seterusnya peranan yang  dimainkan oleh pihak pentadbir dan guru-guru amat penting untuk membawa penggunaan ICT ke bilik darjah dengan kebijaksanaan dan kemudahan yang sedia ada serta semangat, kesungguhan dan iltizam yang tinggi untuk menjayakannya. Penggunaan TMK dalam pengajaran diyakini dapat membantu mewujudkan suasana pembelajaran bestari yang menekankan tiga unsur penting iaitu, self access, self paced dan self directed     
                                             

No comments:

Post a Comment