create your own banner at mybannermaker.com!

Wednesday, 28 September 2011

Simpulan bahasa Huruf K


Simpulan Bahasa bermula dari huruf 'K'
1. Kacang Hantu
Maksud: Orang jahat.
Contoh Ayat: Pemuda-pemuda kacang hantu di kampung itu suka berkumpul di tepi jambatan dan mengganggu setiap gadis yang lalu di situ.

2. Kaki Arak
Maksud: Orang yang suka minum arak.
Contoh Ayat: Sejak Ah Cheong menjadi kaki arak, semua wangnya digunakan untuk membeli arak.

3. Kaki Ayam = Berkaki Ayam
Maksud: Tidak memakai kasut.
Contoh Ayat: Hafeezhat terpaksa berkaki ayam ketika pulang dari masjid kerana kasutnya telah hilang.

4. Kaki Bangku
Maksud: Tidak pandai bermain bola.
Contoh Ayat: Ilham kaki bangku kerana dia tidak pernah bermain bola sepak.

5. Kaki Botol
Maksud: Orang yang suka minum arak.

6. Kaki Buli
Maksud: Orang yang suka menyakiti dan menganiaya orang yang lemah.
Contoh Ayat: Zainal sering diganggu oleh kumpulan kaki buli di sekolahnya yang diketuai oleh Hamzah.

7. Kaki Gaduh
Maksud: Orang yang suka bergaduh.
Contoh Ayat: Ikram seorang kaki gaduh dan sering menimbulkan masalah di kampungnya.

8. Kaki Gunung
Maksud: Di bahagian permulaan gunung.
Contoh Ayat: Saya dan rakan-rakan berkhemah di kaki gunung sebelum memulakan pendakian ke puncak.

9. Kaki Hutan
Maksud: Tepi hutan.

10. Kaki Judi
Maksud: Orang yang suka bermain judi.
Contoh Ayat: Arman seorang kaki judi dan telah banyak menghabiskan harta ayahnya di meja judi.

11. Kaki Langit
Maksud: Langit di bahagian bawah.
Contoh Ayat: Pemandangan yang indah di kaki langit dapat dilihat pada waktu senja.

12. Kaki Lima
Maksud: Bahagian lantai di hadapan kedai atau rumah.
Contoh Ayat: Aishah berteduh di kaki lima kedai makan sementara menunggu hujan berhenti.

13. Kaki Perempuan
Maksud: Lelaki yang suka mengganggu perempuan.

14. Kaki Rambu
Maksud: Orang yang suka merayau.
Contoh Ayat: Sejak dipukul orang kampung kerana disangkakan pencuri ketika sedang merayau, Faisal tidak lagi menjadi kaki rambu.

15. Kaki Seribu
Maksud: Cabut lari.

16. Kaki Umpat
Maksud: Orang yang suka mengumpat orang.
Contoh Ayat: Jauhi tabiat menjadi kaki umpat yang hanya menceritakan keburukan orang sahaja.

17. Kaki Wayang
Maksud: Orang yang suka menonton wayang.
Contoh Ayat: Fadzil kaki wayang. Dia akan menonton setiap filem baru yang ditayangkan di panggung itu.

18. Kaku Lidah
Maksud: Tidak dapat bercakap dengan lancar.
Contoh Ayat: Ahmad menjadi kaku lidah apabila disoal tentang penglibatannya dalam kes rasuah.

19. Kambing Hitam
Maksud: Orang yang dipersalahkan.
Contoh Ayat: Dia menjadi kambing hitam apabila berlaku kecurian di kawasan perumahan itu.

20. Kampung Halaman
Maksud: Kampung tempat dilahirkan.
Contoh Ayat: Setelah lama belajar di luar negeri dia rindu hendak kembali ke kampung halamannya.

21. Kata Dua
Maksud: Pernyataan terakhir oleh sesuatu pihak yang mengemukakan tuntutan yang mesti diterima oleh pihak lain yang terlibat dalam perundingan.
Contoh Ayat: Aman diberi kata dua iaitu berhenti daripada membuat kekacauan atau dipindahkan ke daerah lain.

22. Kata Hati
Maksud: Perasaan.

23. Kata Pujangga
Maksud: Perkataan orang bijak pandai.
Contoh Ayat: Orang tua-tua sering menggunakan kata pujangga ketika memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada orang muda.

24. Kata Putus
Maksud: Ketentuan yang terakhir.
Contoh Ayat: Mesyuarat yang diadakan gagal mencapai kata putus kerana ahli-ahlinya bertelagah.

25. Kaya Anak
Maksud: Banyak anak.
Contoh Ayat: Walaupun keluarga Ahmad hidup dalam kemiskinan tetapi dia kaya anak dan hidup bahagia.

26. Kaya Hati
Maksud: Pemurah.
Contoh Ayat: Dia seorang yang kaya hati kerana sering menghulurkan derma.

27. Kaya Hutang
Maksud: Orang yang banyak hutang.
Contoh Ayat: Jali kaya hutang kerana mengikutkan kehendak isterinya yang gemar membeli baju berjenama.

28. Kecil Hati
Maksud: Berasa tersinggung.

29. Kecut Hati
Maksud: Takut.
Contoh Ayat: Semasa perahu kami dilanda ombak besar, terasa kecut hati saya.

30. Kelas Kambing
Maksud: Tempat duduk (wayang atau kenderaan) yang paling murah harganya.
Contoh Ayat: Kami membeli tiket kelas kambing semasa menonton wayang.

31. Keliling Pinggang
Maksud: Sangat banyak.
Contoh Ayat: Hutangnya keliling pinggang kerana dia boros berbelanja.

32. Ke Luar Negeri
Maksud: Pergi ke negeri lain.
Contoh Ayat: Zaki ke luar negeri untuk melanjutkan pelajaran.

33. Kembang Hati
Maksud: Gembira.
Contoh Ayat: Kembang hati Noraini kerana anaknya dapat masuk ke sekolah berasrama penuh.

34. Kembang Sayap = Mengembangkan Sayap
Maksud: Meluaskan usaha.
Contoh Ayat: Syarikat itu mengembangkan sayap dengan menceburi industri berat pula.

35. Kena Tangan
Maksud: Dipukul.
Contoh Ayat: Pencuri itu kena tangan penduduk kampung ketika cuba mencuri di salah sebuah rumah di kampung itu.

36. Kepala Angin
Maksud: Orang yang berperangai luar biasa pada masa tertentu.

37. Kepala Batu
Maksud: Degil atau mempunyai azam yang kuat.

38. Kepala Berat
Maksud: Bodoh.
Contoh Ayat: Ikram perlu diajar perlahan-lahan dan sedikit-sedikit kerana dia kepala berat.

39. Kepala Berita
Maksud: Tajuk sesuatu berita.
Contoh Ayat: Kemalangan ngeri yang berlaku di lebuh raya itu telah menjadi kepala berita di hampir semua akhbar tempatan terbitan hari ini.

40. Kepala Dingin
Maksud: Penyabar.
Contoh Ayat: Dia kepala dingin, walaupun dimarah tetapi tetap tenang.

41. Kepala Dua
Maksud: Orang yang tidak setia.
Contoh Ayat: Bedul bersikap kepala dua kerana dia telah memberitahu maklumat sulit syarikat ini kepada syarikat lawan.

42. Kepala Kain
Maksud: Bahagian kain (biasa kain batik) yang coraknya berlainan.
Contoh Ayat: Kepala kain itu bercorak pucuk rebung.

43. Kepala Udang
Maksud: Bodoh.

44. Kera Sumbang
Maksud: Tidak suka bergaul dengan orang lain.
Contoh Ayat: Susi menjadi seperti kera sumbang dalam majlis makan malam itu kerana dia seorang yang pemalu.

45. Kerang Busuk
Maksud: Tersengih-sengih tanpa sebab.
Contoh Ayat: Dia diam dan hanya tersengih bak kerang busuk.

46. Keras Hati
Maksud: Terus berusaha dan tidak mudah putus asa.

47. Keras kepala
Maksud: Degil atau mempunyai azam yang kuat.

48. Keras Lidah
Maksud: Tidak pandai bercakap.
Contoh Ayat: Ah Lin keras lidah apabila bertutur dalam Bahasa Inggeris kerana dia kurang mahir.

49. Keras Mulut
Maksud: Tidak mahu kalah dalam perdebatan.
Contoh Ayat: Jamil tetap keras mulut dalam perbincangan itu walaupun pendapatnya tidak diterima oleh orang lain.

50. Kerat Rotan = Berkerat Rotan
Maksud: Memutuskan perhubungan.
Contoh Ayat: Keluarga Dewi telah berkerat rotan dengan keluarga Saroja kerana tidak puas hati dengan pembahagian harta pusaka.

51. Kering Darah
Maksud: Terkejut.

52. Kering Hati
Maksud: Tiada rasa belas kasihan.
Contoh Ayat: Dia menerima berita kemalangan itu tanpa rasa sedih kerana dia seorang yang kering hati.

53. Keringat Dingin
Maksud: Takut.

54. Kerja Tangan
Maksud: Pertukangan tangan.
Contoh Ayat: Kerja tangan pelajar-pelajar sekolah vokasional dipamerkan dalam pameran kraf tangan itu.

55. Ketam Batu
Maksud: Sangat kedekut.
Contoh Ayat: Raju tidak pernah menghulurkan derma kepada yang memerlukan kerana sikapnya seperti ketam batu.

56. Ketawa Raja
Maksud: Ketawa tetapi dalam kesedihan.
Contoh Ayat: Rosna ketawa raja di hadapan tetamu untuk menyembunyikan kesedihan yang sedang dialaminya.

57. Khabar Angin
Maksud: Berita yang belum sah.
Contoh Ayat: Khabar angin mengatakan dia mati dibunuh.

58. Khabar Burung
Maksud: Berita yang belum sah.

59. Kucing Bertanduk
Maksud: Mengharapkan sesuatu yang tidak mungkin berlaku.
Contoh Ayat: Walaupun ditunggu sampai kucing bertanduk, dia pasti tidak akan mengerjakannya.

60. Kucing Kurap
Maksud: Orang yang tidak berguna.

61. Kuku Besi
Maksud: Memerintah dengan kejam.
Contoh Ayat: Pemerintah yang mengamalkan kuku besi akan dibenci dan digulingkan oleh rakyat.

62. Kuku Kambing
Maksud: Alat yang digunakan untuk menanam padi.
Contoh Ayat: Suatu masa dahulu kuku kambing digunakan untuk menanam padi.

63. Kunci Diri = Mengunci Diri
Maksud: Mengurung diri.
Contoh Ayat: Dia mengunci diri di dalam bilik sejak pagi tadi.

64. Kunci Hati
Maksud: Rahsia.
Contoh Ayat: Peristiwa itu tetap menjadi kunci hatinya dan tidak akan diceritakan kepada sesiapa pun.

65. Kunci Mulut
Maksud: Tidak dapat berkata-kata kerana terkejut.
Contoh Ayat: Terkunci mulut Pak Ngah apabila diberitahu anaknya yang bersalah.

66. Kurang Adab
Maksud: Tidak sopan.
Contoh Ayat: Bercakap dengan meninggikan suara kepada orang tua, kurang adab namanya.

67. Kurang Adat
Maksud: Tidak sopan.

68. Kurang Ajar
Maksud: Tidak sopan.

69. Kurang Akal
Maksud: Tidak pandai.
Contoh Ayat: Kalau bercakap dengan Senah perlu menggunakan bahasa yang mudah kerana dia kurang akal.

70. Kurang Asam
Maksud: Tidak sopan.

71. Kurang Bahasa
Maksud: Tidak halus budi bahasanya.
Contoh Ayat: Roslina dikatakan kurang bahasa kerana dia suka bercakap dengan suara yang kuat dan menggunakan bahasa yang kasar.

72. Kurang Fikir
Maksud: Tidak berhati-hati.
Contoh Ayat: Melakukan sesuatu pekerjaan dengan kurang fikir akan membawa kerugian.

73. Kurang Hati
Maksud: Tidak berminat.
Contoh Ayat: Saya kurang hati dalam seni tekat-menekat kerana agak rumit untuk melakukannya.

74. Kurang Iman
Maksud: Mudah terpedaya.
Contoh Ayat: Mujurlah Riduwan tidak kurang iman dan menolak apabila ditawarkan wang yang lumayan untuk mengedar dadah.

75. Kurang Ingat
Maksud: Pelupa.
Contoh Ayat: Jabu yang kurang ingat itu jangan dipesan apa-apa.

76. Kurang Jadi = Kurang Menjadi
Maksud: Tidak mendatangkan hasil atau tuaian yang banyak.
Contoh Ayat: Saya mengalami kerugian kerana kebun langsat saya kurang menjadi tahun ini.

77. Kusut Fikiran
Maksud: Susah hati.
Contoh Ayat: Kusut fikiran Haji Lamin memikirkan anaknya yang belum mendapat kerja di Kuala Lumpur.

78. Kutu Embun
Maksud: Orang yang suka merayau pada malam hari.
Contoh Ayat: Rusli kutu embun dan hanya pulang ke rumah pada pukul 3 pagi.

79. Kutu Jalan
Maksud: Orang yang suka merayau.

No comments:

Post a Comment