Simpulan Bahasa bermula dari huruf 'B'
1. Babi Buta = Membabi Buta
Maksud: Berbuat sesuatu tanpa banyak berfikir.
Contoh Ayat: Serangan yang membabi buta itu telah menyebabkan ramai orang awam terkorban.
2. Bahasa Ibunda
Maksud: Bahasa yang dituturkan oleh sesuatu kaum.
Contoh Ayat: Bahasa ibunda Mei Lin ialah bahasa Mandarin.
3. Bahasa Kasar = Berbahasa Kasar
Maksud: Bahasa yang tidak sopan untuk digunakan.
Contoh Ayat: Ratna mengeluarkan bahasa kasar semasa bergaduh dengan kakaknya.
4. Bahasa Pasar
Maksud: Bahasa Melayu yang tidak betul tatabahasanya.
Contoh Ayat: Jangan menggunakan bahasa pasar apabila membuat karangan.
5. Baik Budi
Maksud: Baik hati.
Contoh Ayat: Hafiz seorang pemuda yang baik budi dan menghormati orang tua.
6. Baik Hati
Maksud: Bersikap baik dan penyayang (suka menolong).
Contoh Ayat: Nenek memang baik hati. Dia sering menghulurkan derma kepada rumah anak-anak yatim.
7. Baik Sangka
Maksud: Berpendapat yang orang lain baik.
Contoh Ayat: Kita hendaklah sentiasa bersikap baik sangka terhadap semua orang.
8. Balas Budi = Membalas Budi
Maksud: Balas jasa dan berterima kasih.
Contoh Ayat: Jiman menyara kos perubatan ibu angkatnya sebagai membalas budi keluarga angkatnya itu.
9. Balas Guna
Maksud: Balas jasa dan berterima kasih.
10. Balik Gagang = Berbalik Gagang
Maksud: Berpihak kepada musuh.
Contoh Ayat: Akibat rasa tidak puas hati terhadap ketuanya, Ahmad telah berbalik gagang dengan membocorkan rahsia syarikatnya.
11. Balik Hati = Berbalik Hati
Maksud: Berubah pendirian.
Contoh Ayat: Dia telah berbalik hati dan tidak jadi meninggalkan kampungnya.
12. Bangkai Bernyawa
Maksud: Orang yang tidak berguna.
Contoh Ayat: Kehidupan seorang penagih dadah ibarat bangkai bernyawa.
13. Bantal Lengan = Berbantal Lengan
Maksud: Kehidupan yang terlalu miskin.
Contoh Ayat: Kehidupannya yang berbantal lengan menyebabkan dia jarang bergaul dengan jiran tetangganya.
14. Banting Tulang = Membanting Tulang
Maksud: Bekerja bermati-matian.
Contoh Ayat: Ayah membanting tulang mencari rezeki untuk menyara kami sekeluarga.
15. Banyak Akal
Maksud: Banyak helah.
Contoh Ayat: Leman banyak akal apabila diminta membayar hutangnya.
16. Banyak Cakap
Maksud: Orang yang suka berleter.
Contoh Ayat: Halijah banyak cakap sehingga pening kepala saya mendengarnya.
17. Banyak Mulut
Maksud: Orang yang suka berleter.
18. Bapa Angkat
Maksud: Orang yang mengaku sebagai bapa dan memelihara kita, walaupun tiada pertalian darah.
Contoh Ayat: Bapa angkat saya memelihara saya seperti anaknya sendiri kata Salmah kepada Karim.
19. Bapa Kandung
Maksud: Bapa sebenar.
Contoh Ayat: Bapa kandung saya tinggal di Perak.
20. Basuh Mulut = Pembasuh Mulut
Maksud: Sajian manis atau buah-buahan yang dijadikan hidangan selepas makan.
Contoh Ayat: Selepas makan tengah hari saya makan buah tembikai sebagai pembasuh mulut.
21. Batu Api
Maksud: Orang yang suka menghasut.
Contoh Ayat: Dalam pergaduhan itu Si Mamatlah batu apinya.
22. Batu Loncatan
Maksud: Sesuatu yang dijadikan permulaan untuk mencapai hajat yang lebih besar.
Contoh Ayat: Kursus membuat makanan ini hanyalah batu loncatan sebelum saya bergiat cergas dalam perusahaan makanan.
23. Bau-Bau Bacang
Maksud: Persaudaraan yang jauh.
Contoh Ayat: Saya mesti melawat Zainon apabila ke Terengganu kerana kami memang ada bau-bau bacang.
24. Bawa Alamat
Maksud: Memberi tanda.
Contoh Ayat: Langit gelap bawa alamat hari akan hujan.
25. Bawa Diri = Membawa Diri
26. Bawa Hati
Maksud: Merajuk.
Contoh Ayat: Setelah pinangannya ditolak, Amar bawa hati dan belayar ke negeri orang.
27. Bawa Hidup
Maksud: Merantau mencari penghidupan.
Contoh Ayat: Rahul bawa hidup ke Malaysia untuk mencari pendapatan yang halal.
28. Bawa Mati
Maksud: Menyebabkan mati.
Contoh Ayat: Penyakit kanser boleh bawa mati jika tidak diubati di peringkat awal.
29. Bawa Mulut
Maksud: Bercerita tentang keburukan orang lain.
Contoh Ayat: Haris sering bawa mulut tentang kelakuan bekas kekasihnya.
30. Bawa Nasib
Maksud: Merantau mencari penghidupan.
31. Bawa Nyawa
Maksud: Menyelamatkan diri.
Contoh Ayat: Masing-masing bawa nyawa dengan lari bertempiaran ketika gempa bumi berlaku.
32. Bawa Sial = Membawa Sial
Maksud: Mendatangkan malang.
Contoh Ayat: Tiada siapa yang membawa sial. Semuanya telah ditakdirkan Allah.
33. Bawa Tempurung
Maksud: Minta sedekah.
Contoh Ayat: Kita masih gagah dan kuat. Kita tidak perlu bawa tempurung.
34. Bawa Tuah = Membawa Tuah
Maksud: Mendatangkan keuntungan.
Contoh Ayat: Tindakan Ahmad membeli anak syarikat itu membawa tuah kepada perniagaannya.
35. Bawah Angin
Maksud: Negeri-negeri di sebelah Timur.
Contoh Ayat: Kapal itu belayar ke negeri bawah angin.
36. Bawah Bendera
Maksud: Berada dalam perlindungan sesuatu kuasa.
Contoh Ayat: Pada suatu masa dahulu negeri-negeri di Tanah Melayu berada bawah bendera Inggeris.
37. Bawah Tanah
Maksud: Pergerakan rahsia atau pergerakan gelap.
Contoh Ayat: Ketika zaman darurat, tentera komunis menjalankan pergerakan bawah tanah.
38. Bayang Kata = Dibayang Kata
Maksud: Dikias.
Contoh Ayat: Semasa makan malam, Mak Long telah dibayang kata oleh ayah tentang sikap cemburunya itu.
39. Bayar Nyawa
Maksud: Mengorbankan diri.
Contoh Ayat: Mak Melur sanggup bayar nyawa untuk mendapatkan hak penjagaan anak lelakinya daripada bekas suaminya.
40. Bekas Tangan
Maksud: Sesuatu yang diusahakan.
Contoh Ayat: "Terendak yang cantik ini adalah bekas tangan Syamsiah," kata Pak Mail memuji menantunya.
41. Belah Bumi = Membelah Bumi
Maksud: Bunyi yang sangat kuat.
Contoh Ayat: Petir yang membelah bumi petang tadi amat menakutkan saya.
42. Belah Hati = Berbelah Hati
Maksud: Tidak tetap pendirian dalam mengambil sesuatu keputusan.
Contoh Ayat: Usahlah berbelah hati untuk meninggalkan keluarga demi mencari masa depan yang lebih baik.
43. Belahan Hati
Maksud: Orang yang sangat dikasihi.
Contoh Ayat: Anak bongsunya itulah belahan hatinya.
44. Belahan Jiwa
Maksud: Orang yang sangat dikasihi.
45. Belahan Nyawa
Maksud: Orang yang sangat dikasihi.
46. Belakang Hari
Maksud: Kemudian hari.
Contoh Ayat: "Berusahalah dengan bersungguh-sungguh, supaya hidup kamu senang belakang hari," nasihat ayah kepada abang.
47. Bendera Putih
Maksud: Mengaku kalah.
Contoh Ayat: Tentera Siam terpaksa mengibarkan bendera putih kerana tidak sanggup menentang serangan kerajaan Melaka yang hebat itu.
48. Bengkak Perut
Maksud: Berasa dengki atau sakit hati kerana sesuatu.
Contoh Ayat: Rajan bengkak perut apabila ibunya menghadiahkan abangnya sebuah rumah.
49. Berat Lalat
Maksud: Pura-pura berani.
Contoh Ayat: Dia berani lalat sahaja apabila mengaku akan menjaga dusun durian pada waktu malam.
50. Berani Mati
Maksud: Tidak takut mati.
Contoh Ayat: Angkatan Tentera Malaysia berani mati dalam mempertahankan tanah air tercinta.
51. Berat Bibir
Maksud: Orang yang pendiam.
Contoh Ayat: Menantu saya berat bibir tetapi rajin ke dapur.
52. Berat Hati
Maksud: Kurang senang.
Contoh Ayat: Berat hati saya melepaskan dia pergi seorang diri.
53. Berat Kaki
Maksud: Malas.
Contoh Ayat: Dia berat kaki untuk ke pesta hari jadi temannya.
54. Berat Lidah
Maksud: Tidak dapat berkata-kata.
Contoh Ayat: Berat lidah Jimah hendak menceritakan hal sebenar kepada ibunya.
55. Berat Mata
Maksud: Mengantuk.
Contoh Ayat: Baru pukul sembilan malam adik sudah berat mata.
56. Berat Mulut
Maksud: Orang yang pendiam.
57. Berat Sebelah
Maksud: Tidak adil.
Contoh Ayat: Sikapnya yang berat sebelah mengecewakan saya.
58. Berat Tangan
Maksud: Pemalas.
Contoh Ayat: Saedah memang berat tangan. Dia hanya tidur dan tidak mahu menolong kakaknya di dapur.
59. Berat Tulang
Maksud: Pemalas.
60. Beri Jalan
Maksud: Beri pendapat atau fikiran dalam menyelesaikan sesuatu perkara.
Contoh Ayat: "Beri jalan untuk menyelesaikan masalah adik kamu ini," kata ibu kepada abang.
61. Beri Muka
Maksud: Memanjakan.
Contoh Ayat: Kalau kerap diberi muka, mereka akan menjadi malas.
62. Berita Hangat
Maksud: Berita baharu yang menjadi perbualan.
Contoh Ayat: Kisah seorang kanak-kanak berumur lapan tahun yang bijak Matematik menjadi berita hangat dalam semua akhbar tempatan.
63. Besar Cakap
Maksud: Orang yang suka bercakap sombong.
Contoh Ayat: Akmal besar cakap sahaja tetapi dia sebenarnya bukanlah orang yang berharta.
64. Besar Hati = Berbesar Hati
Maksud: Gembira.
Contoh Ayat: Datuk Kamarudin berbesar hati kerana diberikan sambutan meriah oleh orang bawahannya.
65. Besar Kepala
Maksud: Tidak mahu mendengar nasihat, degil.
Contoh Ayat: Lijah menjadi besar kepala semenjak kematian ayahnya.
66. Besar Mulut
Maksud: Suka bercakap besar.
Contoh Ayat: "Jangan suka besar mulut menceritakan kekayaan keluarga kita yang tak seberapa," kata kakak.
67. Besar Perut
Maksud: Hamil.
Contoh Ayat: Kami bakal mendapat anak saudara kerana kakak sudah besar perut.
68. Betul Bendul
Maksud: Orang yang lurus dan ada kalanya bodoh.
Contoh Ayat: Jamil memang betul bendul, sebab itulah orang suka mempermain-mainkannya.
69. Biang Keladi
Maksud: Orang atau hal yang menjadi punca kejahatan.
Contoh Ayat: Rajoolah yang menjadi biang keladinya dalam kes kecurian lembu baru-baru ini.
70. Bidan Tarik
Maksud: Membuat sesuatu secara tiba-tiba.
Contoh Ayat: Majlis keraian itu diadakan secara bidan tarik menyebabkan ramai yang tidak hadir.
71. Bidan Terjun
Maksud: Membuat sesuatu secara tiba-tiba.
72. Bintang Gelap
Maksud: Bernasib malang.
Contoh Ayat: Kehidupannya umpama bintang gelap setelah kakinya dipotong akibat kecederaan serius yang dialaminya dalam kemalangan tempoh hari.
73. Bintang Hati
Maksud: Orang kesayangan kekasih.
Contoh Ayat: Zahid berasa gelisah kerana bintang hatinya akan ke luar negara.
74. Bintang Terang
Maksud: Nasib baik.
Contoh Ayat: Sejak tamat pelajaran, dia berbintang terang kerana mendapat pekerjaan yang baik.
75. Bongkar Sauh
76. Bongkok Sabut
Maksud: Bongkok sedikit.
Contoh Ayat: Pemuda yang bongkok sabut itulah suami saya.
77. Bongkok Udang
Maksud: Terlalu bongkok kerana tua.
Contoh Ayat: Nenek yang bongkok udang itu masih kuat membuat kerja-kerja di kebunnya.
78. Buah Bibir
Maksud: Perkara yang menjadi perbualan ramai.
Contoh Ayat: Kisah pendakian Gunung Everest itu masih menjadi buah bibir rakyat Malaysia.
79. Buah Cakap
Maksud: Perkara yang menjadi perbualan ramai.
80. Buah Fikiran
Maksud: Pendapat.
Contoh Ayat: Dalam mesyuarat, buah fikiran ahli yang hadir perlu diambil kira.
81. Buah Hati
Maksud: Orang kesayangan kekasih.
82.Buah Helah
Maksud: Mencari helah.
83. Buah Kalam
Maksud: Hasil tulisan atau karya.
Contoh Ayat: Novel itu adalah buah kalam Hamid yang pertama.
84. Buah Mulut
Maksud: Perkara yang menjadi perbualan ramai.
85. Buah Pena
Maksud: Hasil tulisan atau karya.
86. Buah Tangan
Maksud: Hadiah.
Contoh Ayat: Kami membawa buah tangan semasa melawat Zaini di hospital.
87. Bual Kosong
Maksud: Bercakap tentang perkara yang tidak penting.
Contoh Ayat: Zalina dan Badariah suka berbual kosong di serambi rumah.
88. Buang Adat
Maksud: Tidak menggunakan sesuatu adat lagi.
Contoh Ayat: Kita perlu buang adat yang menyalahi hukum agama.
89. Buang Air Besar
Maksud: Berak.
Contoh Ayat: Hari ini sudah tiga kali dia buang air besar.
90. Buang Air Kecil
Maksud: Kencing.
Contoh Ayat: Penyakit batu karang menyebabkan penghidapnya berasa sakit ketika membuang air kecil.
91. Buang Anak = Membuang Anak
Maksud: Menggugurkan anak.
Contoh Ayat: Membuang anak merupakan perbuatan yang dikeji oleh Tuhan.
92. Buang Arang Di Muka
Maksud: Menghilangkan malu.
Contoh Ayat: Pak Lah menjelaskan perkara yang sebenarnya kepada jemaah masjid di kampung itu bagi membuang arang di mukanya.
93. Buang Diri = Membuang Diri
Maksud: Merantau.
Contoh Ayat: Dia membuang diri setelah difitnah mengganggu anak dara orang.
94. Buang Lelah
Maksud: Berehat untuk meredakan kepenatan.
Contoh Ayat: Beberapa buah wakaf telah dibina dalam taman rekreasi itu sebagai tempat buang lelah.
95. Buang Malu
Maksud: Menghilangkan malu.
96. Buang Muka = Membuang Muka
Maksud: Tidak suka.
Contoh Ayat: Dia membuang muka apabila bertemu dengan pemuda yang mengganggunya.
97. Buang Negeri = Dibuang Negeri
Maksud: Diperintah keluar dari sesebuah negeri.
Contoh Ayat: Ken Long dijatuhi hukuman buang negeri, setelah didapati bersalah kerana menyertai kongsi gelap.
98. Buang Sauh
Maksud: Berlabuh.
Contoh Ayat: Kapal itu buang sauh di pelabuhan yang berhampiran setelah sebulan belayar tanpa henti.
99. Buang Sial
Maksud: Berbuat sesuatu untuk menghilangkan malang.
Contoh Ayat: Kebiasaan penduduk di situ akan mengadakan adat mandi bunga sebagai usaha buang sial.
100. Buang Tabiat
Berkelakuan atau bercakap yang aneh, biasanya sewaktu sebelum meninggal dunia.
101. Buang ubat
Maksud: Tembakan yang tidak kena pada sasarannya.
Contoh Ayat: Buang ubat sahaja, kerana gagak yang ditembak tidak pun kena.
102. Buat Akal
Maksud: Mencari helah.
Contoh Ayat: Dia buat akal apabila disuruh membuat kerja sekolah.
103. Buat Bodoh
Maksud: Pura-pura tidak tahu akan sesuatu.
Contoh Ayat: Uyob buat bodoh apabila orang lain heboh tentang kehilangan motosikal yang diletakkan di depan rumahnya.
104. Buat Jahat = Berbuat Jahat
Maksud: Melakukan kejahatan, biasanya berkenaan hubungan lelaki dan perempuan.
Contoh Ayat: Dia dituduh berbuat jahat dengan anak gadis Tuk Penghulu.
105. Buat Perkara
Maksud: Berbuat sesuatu, biasanya perkara yang tidak baik.
Contoh Ayat: Salina terpaksa berhenti kerja kerana suaminya buat perkara.
106. Buaya Darat
Maksud: Orang yang suka memperdaya perempuan.
Contoh Ayat: Perangai Pak Ya yang buaya darat itu telah dimaklumi jiran tetangganya.
107. Bujur Sirih
Maksud: Bentuk muka seolah-olah bentuk sirih.
Contoh Ayat: Mukanya yang bujur sirih itu bertambah ayu apabila dia memakai selendang sutera putih.
108. Buka Langkah Seribu
Maksud: Lari kerana takut disebabkan sesuatu.
Contoh Ayat: Fuad buka langkah seribu apabila dikejar oleh Pak Mat.
109. Buka Mata
Maksud: a) Melihat dan meluaskan pandangan. b) Menyedarkan atau menginsafkan orang lain.
Contoh Ayat:
a) Kunjungan ke Kashmir telah membuka mata saya tentang keindahan alam semula jadinya.
b) Setelah Adi berjaya memperoleh Ijazah Sarjana barulah saudara-maranya buka mata.
110. Buka Mulut
Maksud: a) Berkata-kata. b) Mengadu untuk mendapatkan pertolongan.
Contoh Ayat:
a) Semua yang ada tidak berani buka mulut apabila melihat Pak Busu Berang.
b) Saya terpaksa buka mulut untuk meminjam wang daripadanya.
111. Buka Pintu
Maksud: Memberi peluang.
Contoh Ayat: Bantuan modal itu telah membuka pintu kepada peniaga kecil untuk memulakan perniagaan mereka.
112. Buka Tanah = Membuka Tanah
Maksud: Mengusahakan tanaman atau membina kawasan kediaman di atas hutan atau tanah yang terbiar.
Contoh Ayat: Peneroka Felda telah buka tanah untuk mengusahakan tanaman kelapa sawit.
113. Buka Telinga
Maksud: Mendengar baik-baik.
Contoh Ayat: Bala sentiasa buka telinga dan menerima nasihat orang yang telah lama bertugas di syarikat itu.
114. Buka Tembelang
Maksud: Membocorkan rahsia.
Contoh Ayat: Si Hamid telah membuka tembelang dengan mengatakan Si Guna yang mencuri kambing Kurupaya.
115.Buku Lima
Maksud: Penumbuk.
Contoh Ayat: Yunus naik marah lalu menunjukkan buku limanya ke arah Amran.
116. Bulan Kesiangan
Maksud: Berwajah pucat.
Contoh Ayat: Mukanya seperti bulan kesiangan apabila dia tidak bersolek.
117. Bulan Madu
Maksud: Pergi ke sesuatu tempat untuk berhibur sesudah berkahwin.
Contoh Ayat: Pengantin baru itu bercadang untuk berbulan madu di Langkawi.
118. Bulan penuh
Maksud: Cantik.
Contoh Ayat: Mukamu bagai bulan penuh. Saya suka menatapnya.
119. Bulat Fikiran
Maksud: Mengambil keputusan yang tetap.
Contoh Ayat: Dia telah bulat fikiran untuk meneruskan pelajarannya ke luar negeri.
120. Bulat Kata
Maksud: Keazaman yang bersungguh-sungguh.
Contoh Ayat: Keluarga Khadijah telah bulat kata hendak mewakafkan tanah pusaka mereka untuk dijadikan tapak sekolah agama.
121. Bunga Bangsa
Maksud: Orang yang berjasa kepada negara.
Contoh Ayat: Jasa perajurit yang gugur di perbatasan akan sentiasa dikenang sebagai bunga bangsa.
122. Bunga Bibir
Maksud: Kata-kata yang manis.
Contoh Ayat: Jangan mudah terpengaruh dengan bunga bibirnya.
123. Bunga Dedap
Maksud: Orang yang cantik tetapi tidak berbudi bahasa.
Contoh Ayat: Tina laksana bunga dedap, harapkan rupanya sahaja cantik tetapi tidak tahu menghormati jiran tetangga.
124. Buru Hutang = Diburu Hutang
Maksud: Terdesak kerana berhutang.
Contoh Ayat: Hidup Chee An sentiasa diburu hutang kerana dia suka berjudi.
125. Buru Nafsu = Terburu Nafsu
Maksud: Melakukan sesuatu secara terburu-buru.
Contoh Ayat: Jangan terburu nafsu dalam mengambil keputusan, fikirlah baik buruknya.
126. Buru Pangkat = Memburu Pangkat
Maksud: Berusaha mencari pangkat.
Contoh Ayat: Walaupun mahu memburu pangkat, tetapi janganlah melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.
127. Buru Pelajaran = Memburu Pelajaran
Maksud: Berusaha mencari ilmu pengetahuan.
Contoh Ayat: Encik Azlan masih terus memburu pelajaran pada usia enam puluhan.
128. Buruk Hati
Maksud: Orang yang jahat.
Contoh Ayat: Perempuan yang buruk hati itu tidak membenarkan anak saudaranya menumpang di rumahnya.
129. Buruk Laku
Maksud: Kelakuan tidak senonoh.
Contoh Ayat: Perangai Ahmad yang buruk laku menyebabkan dia tersisih daripada masyarakat.
130. Buruk Makan
Maksud: Pelahap.
Contoh Ayat: Budak yang buruk makan itu, membedal semua kuih-muih yang dihidang di atas meja.
131. Buruk Mulut
Maksud: Percakapan yang kasar.
Contoh Ayat: Sejak pulang daripada menunaikan haji, perangai buruk mulutnya telah tiada, sebaliknya dia bercakap dengan lemah lembut.
132. Buruk Perut
Maksud: Kuat makan.
Contoh Ayat: Orang yang buruk perut mudah mendapat penyakit.
133. Buruk sSngka
Maksud: Menaruh curiga.
Contoh Ayat: "Jangan buruk sangka kepada kata-kata Zalina, entahkan dia berniat baik," kata Fairuz kepada Azri.
134. Buruk Selera
Maksud: Makan apa sahaja.
Contoh Ayat: Jauhkan amalan buruk selera dan makanlah makanan yang seimbang.
135. Buruk Siku
Maksud: Meminta barang yang telah diberikan.
Contoh Ayat: Agus buruk siku kerana meminta semula motosikal buruk yang telah diberikan kepada adiknya.
136. Busuk Budi
Maksud: Perangai yang jahat.
Contoh Ayat: Sikapnya yang busuk budi itu tidak disukai oleh saudara-maranya.
137. Busuk Hati
Maksud: Orang yang berhati jahat.
Contoh Ayat: Dia busuk hati walaupun dengan kakaknya sendiri.
138. Busung Dada
Maksud: Sombong.
Contoh Ayat: Azri bersikap busung dada sejak ayahnya dilantik menjadi wakil rakyat di daerah itu.
139. Buta Ayam = Rabun Ayam
Maksud: Mata yang rabun menjelang senja.
Contoh Ayat: Dia tidak boleh memandu kereta pada waktu senja kerana dia buta ayam.
140. Buta Hati
Maksud: Bersikap kejam.
Contoh Ayat: Pencuri itu buta hati kerana sanggup membunuh orang tua yang tidak berdaya itu.
141. Buta Huruf
Maksud: Tidak tahu membaca dan menulis.
Contoh Ayat: Walaupun Ah Seng buta huruf, dia sentiasa memastikan anak-anaknya cemerlang dalam pelajaran.
142. Buta Kayu
Maksud: Tidak tahu membaca dan menulis.
143. Buta Malam
Maksud: Rabun pada waktu malam.
Contoh Ayat: Dia tidak dapat hadir dalam aktiviti rukun tetangga pada waktu malam kerana dia buta malam.
144. Buta Perut
Maksud: Tidak bertimbang rasa.
Contoh Ayat: Kita janganlah jadi orang yang buta perut, perlulah fikirkan nasib mereka yang malang.
145. Buta Warna
Maksud: Tidak dapat membezakan warna.
Contoh Ayat: Satu daripada syarat untuk mengikuti program "Memandu Kapal Terbang" ialah peserta tidak buta warna.
Sumber
diperolehi dari seribahasa
No comments:
Post a Comment